Sabtu, 13 Mac 2010

Mawar Emas - Ulasan Buku Terbitan ITNM


Mawar Emas merupakan himpunan karya-karya penulis Russia sejak akhir abad ke-18 hinggalah dekad 90-an. Koleksi ini menyorot perkembangan sastera kreatif Russia. Maka dalam buku ini, terdapat sedutan karya-karya penulis agung Russia seperti Tolstoy, Dostoyevsky, Anton Chekov dan Maxim Gorky. Manakala yang lain tidak kurang hebatnya seperti Semen Kirsanov, Boris Pasternak, Musa Jalil, Anna Akhmatova dan lain-lain.

Sastera penulisan Russia memang amat pekat dengan nada-nada merayakan semangat individualiti dan Nihilisme. Sepertimana simfoni-simfoni klasik Russia yang hebat (bayangkan Tshaikovsky atau Sergei Rachaminoff), terdapat elemen-elemen melankoli dan kesedihan yang nyata. Oleh itu, tidak hairanlah orang-orang Russia sering dianggap paling pesimistik tetapi daya imaginasi yang tinggi serta menjangkau batas-batas 'taboo' dan moraliti.

Setiap penulis (45 kesemuanya) disertakan biografi ringkas masing-masing maka anda boleh merasai episod-episod kehidupan yang dilalui mereka. Biografi yang ditonjolkan dalam buku ini amat menarik kerana terdapat beberapa kisah tragis dalam segelintir kehidupan mereka seperti Akhmatova dan Marina Tsvtaeva (mengakhiri kehiupan sebagai pencuci pinggan sebelum menggantung diri pada tali yang diberikan pemenang Hadiah Nobel 1958, Boris Pasternak!). Aneh, tetapi inilah kepekatan sasterawan Russia.

Selain penulis agung seperti Anton Chekhov dan Tolstoy, anda turut didedahkan dengan penulis-penulis Russia lain yang mungkin kurang tersohor tetapi memiliki karya yang hebat dan agung seperti Alexander Pushkins (1799-1837).
Turut dimuatkan ialah sedutan novel klasik 'Perang Dan Kedamaian' (War And Peace) yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu serta karya klasik Fyodor Dostoyevsky yang sangat masyhur iaitu 'Si Tolol' ('The Idiot').

Terdapat juga karya Ivan Bunin (penulis Russia pertama yang memenangi hadiah Nobel pada 1933) dan walupun cuma 3 puisi dimuatkan, ia tidak menghampakan apabila anda menitip bait-bait dalam puisi 'Malam' (Noch') - 4 bait terakhir yang menguja sukma : '...Hanya Dialah tahu kerinduanku, Rindu hatiku yang separuh mati, Rindu kusembunyikan dari orang... Kesejukan, kilauan, angin Mistral.'

Tarikan lain antaranya adalah cerpen 'Matinya Seorang Pekerja' karya Anton Chekhov, puisi Vladimir Khlebnikov (1885-1922), puisi revolusi Vladimir Mayakovsky (1893-1930), puisi Hamlet oleh Boris Pasternak dan karya 'Bunga Emas' dan 'Bunga Dari Serpih-Serpih Kayu' oleh Konstantin Paustovsky (1892-1968).

Pushkins, Dostoyevsky dan Tolstoy merupakan pembawa aliran 'Romantis' yang ulung maka tempoh penulisan mereka dianggap sebagai Zaman Emas sejarah kesusasteraan Russia.
Terdapat transisisi yang jelas dalam kesusasteraan Russia yang diperhatikan dari Era Revolusi (Bolshevik 1917) sehinggalah Perang Dingin sekitar 1960-an. Saya tidak menggemari perkembangan sastera Russia pada zaman yang lebih 'moden' kerana dilihat kurang 'romantis' ataupun tidak mempunyai kepekatan-kepekatan tragis yang biasa ditonjolkan semasa Zaman Emasnya.

Terdapat juga pembawa-pembawa aliran Sosialis Realisme seperti Maxim Gorky ('Penulis Revolusi Russia') dan membawa karya-karya yang menyentuh semangat Revolusi.
Walaupun disominasi revolusi kelas, terdapat juga segelintir penulis 'putih' (anti-Revolusi) yang pencinta 'damai' dan melemparkan kritikan terhadap perang saudara antara kaum 'Merah' dan kaum 'Putih' seperti Marina Tsetaeva. "....Putih jadi Merah - Darah memerahkan, Merah jadi Putih - Maut memutihkan", beliau menulis.

Selain puisi, cerpen dan sedutan novel, terdapat juga himpunan teka-teki yang sangat menarik! Teka-teki Russia ('Zagadki') kebanyakannya pendek dan bersahaja tetapi memikat rasa!
Sebagai contoh, mungkin anda boleh cuba menjawab 'Zagadki' ini: 'Adik nak mengunjungi abangnya tetapi dia itu menyumbunyikan diri', 'Lalat-lalat putih turun ke padang', 'Tiada tangan, tiada kaki tetapi pintu boleh dibuka', 'Bergigi tetapi tidak menggigit' dan 'Tidak kenal huruf tetapi menulis seumur hidup'. Jawapan bagi 5 'Zagadki' di atas? Anda pasti tersengih sendirian. Anda boleh pula mencubanya dengan teman-teman lelaki atau wanita anda juga sebagai selingan jenaka semasa berlibur di starbucks atau bistro! Pasti meriah. Maka, dapatkan buku ini.

Buku ini mungkin bukan pakej yang komprehensif untuk koleksi sasterawan-sasterawan agung Russia, tetapi adalah rujukan terpenting masakini dalam 'membuka selera' anda terhadap mereka. Bagi yang telah lama mengenali kesusasteraan Russia yang hebat seperti saya (sebagai pengikut tegar Dostoyevsky, 'Crime And Punishment' adalah inspirasi sepanjang zaman!), buku ini boleh dianggap 'refresher' manakala bagi yang baru hendak mengenali, buku ini adalah sumber terbaik di pasaran untuk anda mendekati keunggulan sastera Russia. Dapatkan buku ini, dan anda memperoleh tiket untuk meneroka alam sastera Russia yang agak komplikatif, tetapi sangat mendalam dan halus dari aspek nilai perasaan dan merayakan kehidupan!

Tiada ulasan:

iklan selingan

Malaysia Web Hosting

nombor ramalan