Sabtu, 13 Mac 2010

Menakhoda Zaman - Ulasan Buku Terbitan ITNM


Berasaskan falsafah 'Menyingkir Kelemahan, Menyahut Cabaran, Menggerak Perubahan dan Membina Masa Depan', buku dwibahasa hasil karya Najib Tun Razak ini menerbitkan pencerahan baru kepada orang-orang Melayu dan telah menterjemahkan Visi untuk kelahiran generasi Melayu glokal yang berperadaban tinggi dan dihormati. Dan Najib, melalui buku ini, telah menonjolkan keupayaan sebagai nakhoda yang ingin membawa bahteranya ke satu pengembaraan yang luas.

Buku ini merupakan koleki intipati daripada siri ucapan perasmian tiga sayap UMNO dalam kapasiti Timbalan Presiden selama 5 tahun. Tema-tema ucapan dihuraikan dalam 11 bab yang terkandung.

Najib telah menggabungkan pemikiran realisme beliau dengan fadhilat-fadhilat Al-Quran atau Hadith Nabi yang dipersembahkan secara konsisten pada sepanjang buku ini.
Najib telah menghuraikan prospek kenakhodaan beliau dalam 11 bab dengan konsep-konsep yang berlainan iaitu 'Mengaku Kesilapan, Mempebaik Kelemahan', 'Mentransformasikan UMNO', 'Mengangkasa Tamadun Bangsa', ' Akidah, Ekonomi dan Teras Tamadun Bangsa', Pertarungan Minda Perang Masa Depan', 'Memacu Minda bagi Agenda Melayu Islam', 'Menjana Melayu Glokal', 'Mengelak Melayu menjadi Bangsa Picisan', Ijtihad dan Transformasi Budaya', 'Jati Diri Melayu' dan 'Perjuangan Belum Selesai'. Perhatikan pemilihan kosa kata Najib. Tiada yang terlalu retorik, semua isu menyentuh orang-orag Melayu digarap secara realistik ke arah anjakan minda.

Terdapat 2 isu utama yang ditonjolkan Najib dalam buku ini iaitu:
1) Isu Melayu di persimpangan; dan
2) Transformasi Umno sebagai parti utama dan pembela kepentingan bumiputera Melayu moden.

Dalam isu Melayu di persimpangan, Najib menggariskan kesan dan cabaran globalisasi terhadap kaum Melayu di tengah-tengah liberalisasi perdagangan dan konsep langit terbuka. Oleh yang demikian, terbit impian beliau untuk menjana Melayu Glokal yang 'berakar nasional dan berakal internasional'. Beliau melontar persoalan emas, "apakah keistimewaan dan keunikan bangsa Melayu yang hendak dijenamakan ke seluruh dunia"?

Seterusnya, Najib menggariskan kepentingan Modal Insan kerana menurut beliau, "hanya berbekalkan modal insan, Melayu tidak akan lagi menjadi bangsa picisan". Dalam agenda modal insan, Najib menggariskan usaha ke arah kemahiran keusahawanan melalui pembentukan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), serta membudayakan tradisi penyelidikan dalam sains dan teknologi.

Apa yang menarik lagi, Najib turut memperkenalkan 2 'kumpulan melampau' dalam kalangan masyarakat Melayu dari segi amalan iaitu kumpulan yang tidak menghiraukan kehidupan beragama lantas berfoya-foya dan kumpulan yang menyempitkan pemahaman akhirat lalu hidup menyisihkan dunia. Dengan demikian, terbitlah Ijtihad sebagai instrumen ke arah mentransformasikan budaya untuk memperkasa Melayu Glokal dan menunjang perubahan paradigma Melayu.
Akhirnya, Najib mengingatkan agenda perjuangan yang belum selesai dengan menggariskan 4 landasan strategik iaitu mengukuhkan kepentingan ekonomi Melayu ("walaupun DEB mungkin berakhir, namun roh, semangat dan prinsipnya mesti diteruskan"), mengamalkan nilai murni, mementingkan penguasaan ilmu pendidikan dan penguasaan bahasa asing.

Dalam isu Transformasi UMNO pula, Najib mengupas "ahli UMNO perlu berpijak di bumi nyata". Landskap politik negara sudah berubah dan ahli UMNO "tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan masa lampau tanpa mencipta kejayaan baharu". Maka, pengiktirafan diberi kepada generasi muda kepimpinan UMNO untuk menggalas tanggungjawab untuk mewakili bisikan sebenar nurani rakyat dan memenangi persaingan idea di tengah-tengah fenomena komuniti siber dan media alternatif.

Dari segi kaedah politik, Najib menggesa agar UMNO memperkukuh proses pendidikan dan pengkaderan, serta mengubah sistem kuota agar hak memilih diberikan kepada kumpulan akar-umbi yang lebih besar.

Kedua-dua isu di atas menuntut anjakan minda, perubahan paradigme dan pengamalan konsep ijtihad di kalangan orang-orang Melayu dan walaupun beliau bermotivasi untuk merealisasikanMelayu Glokal, Najib tetap tidak menganaktirikan kaum yang lain maka wujudlah gagasan implan 1Malaysia. Sewajarnya, konsep 1Malaysia yang turut diperkenalkan beliau adalah merupakan cabaran dan gagasan untuk orang-orang Melayu terus melangkah progresif sepertimana inipati buku ini.

Saya sungguh seronok dan teruja membaca 'Menkhoda Zaman' ini kerana ia dipersembahkan dengan nada yang bersahaja dan beserta pemilihan elemen-elemen perkataan yang memikat. Saya membaca seluruh buku ini sekitar 30 minit sahaja dan terasa dibawa dalam pengembaraan minda yang hebat.

Pada pandangan saya, Menakhoda Zaman lebih menarik daripada 'Dilema Melayu' oleh Dr M kerana Najib lebih mencakupi kehendak globalisasi dan lebih relevan kepada aspirasi Melayu glokal, terutama generasi baru pascamerdeka. Berbanding Dilema Melayu atau karya kritikan sosial yang lain, Menakhoda Zaman dilihat lebih elegan atau mesra-pembacaan dalam huraian-huraiannya.

Menakhoda Zaman mungkin bukan karya ulung yang sarat dengan fakta-fakta atau teori ilmiah tetapi ini adalah titik permulaan ('blueprint') yang penting kepada pembentukan ketamadunan Melayu baru. Kita sering mendengar laungan 'Transformasi' di sana-sini maka 'Nah!'...buku karya Najib ini adalah asas kepada segalanya.
Ini adalah sumber terpenting dalam khazanah sastera intelektual negara, khususnya kaum Melayu kerana untuk tempoh 50 atau 100 tahun akan datang, Melayu Baru boleh berpaling dan bernostalgia sejenak; pada ayat-ayat dan falsafah Najib dalam 'Menakhoda Zaman' inilah segalanya terencana bagi pembinaan satu ketamadunan Melayu yang ulung.

'Menakhoda Zaman' turut dimuatkan dengan versi terjemahan iaitu 'Helming The Times' dan anda boleh menghayatinya dalam bahasa Inggeris juga! Buku ini menjanjikan pencerahan minda kepada orang-orang Melayu!

iklan selingan

Malaysia Web Hosting

nombor ramalan