Sabtu, 13 Mac 2010
Sungai Mekong, Antologi Puisi Latiff Mohidin - Ulasan Buku Terbitan ITNM
Semasa kecil, saya pernah terlihat buku ini semasa menyelongkar koleksi buku-buku ibu saudara saya (seiring dengan 'Badai Semalam dan 'Tulang-Tulang Berselerakan'). Buku ini sangat comel ('cute') dan mengandungi himpunan puisi karya Latiff Mohidin. 'Sungai Mekong' adalah antologi puisi beliau yang termasyhur dan terpenting dalam rujukan sastera moden tanahair.
Pada pandangan saya, Latiff Mohidin adalah ikon penulisan sastera Melayu moden yang sebenar. Puisi-puisi dalam 'Sungai Mekong' ini ditulis sekitar 1968 tetapi membacanya semula, seolah-olah ia ditulis 4 atau 5 tahun lepas! Sudah menghampiri 50 tahun usia puisi-puisi dalam buku ini tetapi bait-bait yang dititip Latiff tetap segar menandingi pemuisi-penulis alaf baru.
Ada sedikit gaya Alan Ginsberg (penyajak dan budayawan 'Beat Generation') dalam karya-karyanya dan ini selari dengan aliran penulisan liberal pascamoden yang dianutinya.
Latiff banyak menggunakan gaya frasa ulangan beritma yang merupakan ciri istimewa penulisan beliau. Ini dapat dilihat dalam rangkap akhir 'Biarlah Kutiduri Jua' yang saya kira puisi terbaik dalam antologi Sungai Mekong ini:
"sesak dadaku
pada ombak yang nyata
retak bibirku
pada angin yang luka"
Atau;
"Darahku mimpikan satu saat
satu saat tanpa ancam dan pelarian
Darahku mimpikan satu alam
satu alam tanpa kabus dan pagar" - puisi Darahku, 1965
Secara personal, gaya bahasa beritma yang dipelopori Latiff ini memberi keterujaan yang hebat kepada saya dan hanya Latiff sahaja berbanding penulis-penulis lain yang mampu menerokanya secara simplistik dan bersahaja!
Cuba hayati puisi 'Perpisahan' (1967) pula...ritma yang diucapkan Latiff seumpama 'hidup' dan mempunyai melodi tersendiri apabila dipersembahkan kepada ruang khayalak. 'Melodi dalam puisi' adalah arus baru penulisan kreatif dan Latiff adalah segelintir kecil pemuisi yang berupaya menggarapnya.
Kata-kata yang digunakan Latiff lebih bersifat minimalis dan tidaklah terlalu berat untuk ditafsir.
Sekiranya anda mencari imejan politik atau kritikan sosial, minta maaf....dalam 'Sungai Mekong' hanyalah imaginasi yang didasarkan kepada objek-objek sekeliling, lalu digarap dengan penuh humanis. Sebagai contoh 'Sebuah Bas Bewarna Biru', 'Kepada Kura-Kura' atau 'Sekuntum Bunga Sepatu'.
Oleh itu, tidak hairanlah anda pasti akan tersenyum kecil semasa membacanya.
Dalam Cinta Dari Sebuah Kamar, Latiff menggunakan perspektif dinding, lantai, meja, tilam dan cermin untuk menggambarkan seorang perindu.
Terdapat elemen-elemen alam yang segar dalam puisi-puisi Latiff tetapi tidaklah terlalu klise untuk dihayati sebagai contoh puisi 'Banjir', 'Hujan', 'Taman', 'Tarian Lalang' dan 'Pohon Cemara'. Mengalir dalam puisi Latff adalah kesan-kesan perasaan, kenangan, mimpi dan lapisan pengalaman yang dicerna melalui imaginasi dan imejan objek-objek biasa di sekeliling kita.
Cuma apa yang membezakan dengan edisi yang pernah saya lihat semasa kecil itu ialah, koleksi lukisan atau lakaran abstrak ('contengan mini') Laiff. Mungkin banyak lagi himpunan abstrak beliau yang boleh disertakan dalam buku ini.
Latiff Mohidin adalah penulis puisi moden yang menjangkau zaman dan saya merasakan beliau ternyata lebih sofistikated daripada Fynn Jamal atau Shaira Amira, 2 pemuisi wanita popular masakini!
Dan sekiranya kamu seorang artis atau kalangan penggerak genre 'Indie', kamu masih belum cukup post-modernis ataupun 'cool' sekiranya tidak pernah membaca puisi-puisi Latiff Mohidin seumur hidup kamu! Mungkin satu hari nanti, puisi-puisi Latiff yang hebat ini akan dapat ditransformasi dalam bentuk lagu dan menembusi carta-carta muzik popular! Ini kerana, puisi beliau seolah-olah mempunyai 'jiwa' dan unsur 'melodi' yang hidup pada baris-baris ritmanya. Semua orang, terutama generasi artis dan karyawan baru harus mendapatkan buku terbitan ITNM ini kerana puisi-puisi beliau adalah epitom kepada maksud 'kesegaran' sebenar (pop culture) dan bakal memberi inspirasi yang hebat!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
...
Di puncak rangka logam ini
Kami terasa terpencil dan dingin
Wahai sang waktu singgahlah
Bawalah kami kembali pada
Kehangatan dan bau rumput di bumi
aku suka puisi ini. :-)
re:...tq for your wish...kamu juga cool...:-)
Catat Ulasan