Ahad, 22 Mac 2009

Okaeri Nasai

Sini letaknya Jalan Jenang. Riuh kalut majmuk dalam sunyi. Seliratan wayar-wayar yang menghembuskan letrik kepada setiap tumpangan dan kedai di sekitar Jalan Jenang mirip macam lukisan manga Pekan Hartakarun dalam cereka Jepun Tekkonkinkreet. Keladak dan longgokan sampah dalam longkang-longkangnya selalu dikaitkan dengan sikap Tombot. Setiap masa ada budak-budak nakal baru nak naik cuba nak jadi samseng ciplak tiru pemandangan ghetto dengan baling kasut (kasut Bata bukan Adidas) jadikan wayar-wayar sebagai ampaian tapi Tombot cepat-cepat jolok bersihkan. “Hidup Bersih Amalan Kita”, kata geng Tombot ikut skrip. Budak-budak tu tetap tak peduli. Darah muda tengah gelora.

Budak-budak kat sini suka dengar musik, semua genre musik tak kira sedap ke tak sedap halwa telinga mendengar – dari main kugiran, bicara warong kopi hal ehwal terkini dunia musik, tonton Muzik TV, cuba tiru fesyen happening idola musik – sampaikan setiap momen penting dalam hidup warga Jenang ada soundtracknya sendiri. Macam irama dan lagu, segenap kehidupan mereka dilagui. Seperti ada gerombolan pancaragam hantu mengiringi hidup setiap detik masa. Musik menyatukan mereka. Dengan syarat: cuma musik, tak kurang tak lebih.

Pernah ada orang cakap musik membuatkan hidup kekal muda.

Dari dulu sampai sekarang Jalan Jenang tetap sama. Semacam disumpah takkan berganjak dari kedudukannya – seperti dalam kubik lompang, tak tercela dengan masa yang terus berdetik ke depan – Atlantis tidak akan dijumpai selamanya, namun sini asalnya Neverland. Ruang continuum masa terhenti. Yang tinggal muda lawan tua, baik versus jahat. Macam selalu dalam cerita dongeng.

Dan di sinilah segala cerita bermula…

***


I. Virtu


“What’s the point?!! What’s the reason?!!,” terdengar pekik halus decibel dari earphone Sop.
Muka Sop nampak betul marah – mulutnya kumat kamit semacam menyeranah, matanya pejam celik, badannya bergetar-getar menggigil. Dalam kepalanya dah dia bayangkan diri tengah slam tengah kerumunan khalayak. Hardcore 90an, biasalah. Seluar pendek 3-quarter, singlet basketball, cap baseball, sepasang sneakers shoeglued Vans dan beg sekolah converse diconteng-conteng. Amerikan. Tak lupa sehelai tuala peluh. Dia meluncur dengan skateboard nak ke port biasa setiap petang, berhadapan ibupejabat Syarikat Bas Lien Hoe. Sinar matahari petang redup situ.

Cuma seorang dah mula bermain, dari jauh Sop dah nampak. Pria gelap, agak kerdil, pakaian warna terang, rambut pintal-pintal muka serabut. Tergaru-garu bontot. Siapa lagi kalau bukan Che. Nampak dia sungguh-sungguh berlatih pop shuvit, mentang-mentang la ada orang puji popnya tinggi hari lepas. Umurnya dah 28, peringkat umur jantan hebat kerana katanya dah melepasi cabaran sumpahan idola-idola rocknya.

“Aku memang tak puas hati!” sampai-sampai je terus Sop membebel.

Masih mendengus kepenatan, sambil betulkan jeans baggy yang dah hampir londeh, Che tanya, “Pesal lak ko? Cindy buat hal lagi? Geng Tombot kejar ko keliling town lagi? Kucing ko beranak? Kasi je la. Ke, pasal anu lu tak naik?” berderai Che ketawa teringatkan kisah ranjang Sop. Sop sendiri tatau kenapa ada masa anunya ingkar untuk berfungsi. Lebih-lebih lagi bila masa permainan nak mula. Selalu dia mundar mandir depan orang jual obat lelaki kuat kat pasar malam, tapi selalunya dia tak tanya sebab malu. Fikirnya dia boleh hidup tanpa seks sekalipun.

“Bukanlah dol!” bingkas dia menolak asumsi bertret-tret-tret-tet macam AK-47 Che, “Ni pasal Ordinan Virtu yang Tokonsol nak pass tu lah! Apa lagi?!! Semua orang dah tau. Kau tatau?”

Che menggeleng. Dia tau skate and destroy je.

Tokonsol adalah badan penguasa yang mengawal kebingaran kat wilayah Jenang. Tombot pula ahli-ahli penguatkuasa Tokonsol. Mereka lah biasanya yang suka saman-menyaman, tangkap-menangkap, buli-membuli, ketawa-mengetawakan orang lain. Orang-orang lama cakap diorang ni utusan langit. Kebanyakan orang lama endorse kuasa diorang ni tanpa banyak soal; kenapa nak tanya lagi bila kuasanya datang dari langit? Nanti kena panah petir kata mereka, walaupun tak pernah lagi ada orang kena panah petir selama ni. Kecuali layang-layang Tuan Ben F. lama dulu.

Ordinan Virtu ni baru je diorang nak pass sebagai by-laws. Baru bacaan pertama. Alasannya antara lain sebab ramai sangat budak-budak Jalan Jenang berpakaian terang-terang, londeh-londeh, lelaki pegang tangan lelaki / perempuan pegang tangan perempuan, hisap rokok tempat awam dan berpeleseran meluncur tunjuk middle finger pada umum. Wtf?

Banyak geng Tombot pun hisap rokok juga, tapi senyap-senyap, sembunyi-sembunyi. Kadang-kadang bila KayKay ke, Pot ke buat trick menjadi mereka jerit “Yeah!” sambil tepuk tangan. Lepas tu diorang tetap kena kejar juga keliling town. Kesian.

Ada juga geng Tombot tanpa segan silu tanya “Da’er kubak?”

Sop kali ni memang betul-betul tak puas hati. Semua rancangan dah jelas dalam kepalanya. Semua ni mesti ditentang. Sop tanak Jalan Jenang gelap dengan pakaian lusuh, berdekah dengan gaya seluar pakai tarik atas pusat, lelaki menghindari lelaki / perempuan duduk jauh dari perempuan, kena hisap rokok dengan budak-budak Tombot atau dapat main skate dekat skatepark je (kena daftar nama pula tu, nama dikecilkan menjadi nombor).

Mampos lah Jalan Jenang kalau Ordinan tu lepas!

3 ulasan:

si tolol berkata...

Okaeri Nasai= selamat pulang. salam yg diberikan sbg balasan kepada salam "Aku dah pulang! (mcm selalu Nobita buat)

Salam ni khas utk jj n ssp. juga kpd yg berminat.

Gin Jimuda berkata...

ah, wonder if anyone really dig this.

delusiana berkata...

well, it's a shame if they don't.

iklan selingan

Malaysia Web Hosting

nombor ramalan